Sunday, June 19, 2011

KWSP diminta jelaskan pinjaman RM6 bilion Felda - Malaysiakini

KWSP diminta jelaskan pinjaman RM6 bilion Felda
Jun 18, 11 8:44pm
Kongsi

302

Pihak lembaga pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu menjelaskan kedudukan pinjaman RM6 bilion yang didakwa diberikan kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

“Jika ini benar, semua penyimpan KWSP berhak untuk tahu sejauh mana pinjaman ini dijamin dapat dilunaskan oleh Felda, dalam tempoh selama mana dan apakah tujuan pinjaman itu dilakukan oleh pihak Felda?” soal Presiden Teras Keupayaan Melayu (TERAS) Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, adalah aneh ketika Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan mempertahankan bahawa FELDA meraih keuntungan sebanyak RM1.197 bilion tahun lalu, tetapi KWSP pula meluluskan pinjaman RM6 bilion seperti yang didakwa.

“Jika benar ada justifikasi, apakah syarat pinjaman sebesar itu telah diteliti agar KWSP tidak menanggung risiko yang akan mengakibatkan kerugian ditanggung oleh para penyimpan.

“Pinjaman yang besar itu tidak mungkin dapat dilihat sebagai bukan bebanan kepada peneroka Felda kerana ia perlu dibayar balik walau dalam keadaan apa sekalipun. Akhirnya peneroka Felda dan penyimpan KWSP lah yang menanggung risiko,” katanya.

Mohd Azmi berkata Ahmad Maslan tidak harus berdolak-dalik dengan alasan bila menjawab secara mengelirukan di Parlimen.

“Persoalannya adalah jelas. Kenapa Felda perlu pinjam dari KWSP sebesar RM6 bilion dan kenapa pelaburan Felda melalui Felda Global Ventures di luar negara rugi sebesar RM500 juta dari 2007 hingga 2010?

“Jawapan yang sangat kabur dan menimbulkan banyak pertanyaan lain menyebabkan rakyat dan peneroka ada sebab untuk sangsi kepada pengurusan Felda. Tahun lalu sahaja , Ahmad mengaku, juga di Parlimen, bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion pada tahun 2009,” katanya lagi.

Menurut Mohd Azmi, berdasarkan perkembangan beberapa kes di mahkamah yang menunjukkan peneroka menang dalam saman mereka ke atas Felda, bermakna ada pengurusan yang tidak kena di Felda sendiri.

AKU ANAK FELDA, KESIAN PADA AYAHKU YANG MEMBANTING TULANG DI FELDA TROLAK UTARA

Felda untung RM1 billion, hutang RM6 billion!
Jumaat, 17 Jun 2011 10:16 Wira Arjuna
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Ahmad Maslan memberi keterangan bercanggah dan berdolak dalih ketika cuba mencanang Felda sebagai sebuah syarikat kerajaan yang mencatatkan keuntungan berlipat ganda dan kononnya tidak pernah “membebankan” peneroka-peneroka dengan pinjaman yang diambil olehnya.

Bagaimanapun Ahmad mengaku di Parlimen hari ini bahawa meskipun kedudukan Felda begitu utuh, syarikat itu membuat pinjaman RM6 bilion daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad juga menegaskan tidak ada syarikat dalam kumpulan Felda yang menanggung kerugian.

Ini menurutnya adalah kerana Felda mencatat keuntungan RM1.197 bilion pada tahun lalu.

Bagaimanapun Ahmad Maslan kemudian mengaku bahawa sebuah syarikat yang dibeli untuk memasuki pasaran minyak masak di Amerika Utara menanggung kerugian.

Namun Ahmad menyifatkan kerugian itu fenomena biasa dalam pembelian aset di luar negara.

Dalam ucapannya di parlimen itu, Ahmad mempertikaikan angka-angka yang dirujuk oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kerugian terkumpul Felda sebanyak RM500 juta dari tahun 2007 hingga 2010.

Sebahagian besar daripada kerugian itu dikatakan ditanggung oleh Felda Global Ventures menerusi pelaburan-pelaburan rapuh di luar negara, kata Anwar sambil memberikan contoh-contoh pelaburan yang dimaksudkan.

Anwar meminta kerajaan Umno-BN menyatakan sama ada RM6 bilion itu digunakan oleh anak syarikat Felda, Felda Global Ventures untuk melabur dalam syarikat milik asing.

“Saya tidak tahu dari mana ahli parlimen Permatang Pauh mendapat angka-angka ini,” kata Ahmad dengan sekali lagi mencanang keuntungan RM1.197 bilion Felda tahun lalu.

Anwar berkata Felda sepatutnya mampu memperoleh keuntungan berlipat ganda sekiranya pengurusan lebih telus.

Namun akibat pengurusan lembab, peneroka dinafikan hak untuk menikmati keuntungan lebih tinggi memandangkan harga kelapa sawit dan getah dunia melambung tinggi.

Anwar menegaskan pencapaian anak syarikat Felda tidak mencerminkan aset begitu luas yang dimiliki oleh Felda serta potensi keuntungan yang bakal dicapai.

Tahun lalu, Ahmad mengaku, juga di Parlimen, bahawa rizab Felda susut daripada lebih RM4 bilion pada tahun 2004 kepada RM1.35 bilion tahun 2009.

Peneroka Felda dilihat sebagai “simpanan tetap” Umno ketika pilihanraya dan sebarang kritikan terhadap pengurusan Felda sering mengundang tindakan padah daripada pemerintah.

Tahun lalu, lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan diharamkan dan disaman kerana mendakwa Felda mungkin bankrap jika terus menanggung kerugian akibat pemborosan dan pelaburan yang tersasar.

Pada hari ini Ahmad mendakwa peneroka Felda tidak pernah ditindas, namun keputusan-keputusan Mahkamah dalam beberapa saman yang difailkan oleh peneroka menunjukkan hakikat yang sebaliknya.

Ribuan peneroka Felda memenangi hak untuk mendapatkan pampasan daripada Felda setelah hakim memutuskan mereka ditipu bayaran untuk hasil sawit yang diusahakan.

Mahkamah Persekutuan pada Ogos lalu memerintahkan Felda membayar RM11 juta kerana menipu sekumpulan peneroka di Kemahang.

- Wira Arjuna